Selamat Datang Ke Exora Blog

Saturday, 22 October 2011

Guru Pembina Negara Bangsa

Pada tanggal 16 Mei setiap tahun seluruh negara menyambut Hari Guru sebagai penghormatan jasa kaum guru dan tanda ucapan terima kasih kepada mereka. Penghormatan ini amat layak diberikan kerana usaha gigih guru dalam mendidik insan merupakan peranan yang mulia. Pembangunan diri insan yang cemerlang akan menentukan matlamat pembinaan sebuah negara yang maju dan aman akan dapat kita capai.
Menyedari pentingnya pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia, Kementerian Pelajaran telah memilih “Guru Pembina Negara Bangsa” sebagai tema Hari Guru pada tahun ini. Keupayaan membina Negara Bangsa amat bergantung kepada keutuhan perkongsian nilai serta semangat patriotisme yang dapat dipupuk dan disuburkan dalam kalangan semua lapisan rakyat, terutama dalam kalangan generasi muda. Menerusi semangat patriotisme, bangsa akan menjadi kuat, berani, mempunyai kekuatan mental, emosi dan fizikal dalam membentuk ketahanan negara.
Nilai sosial seperti semangat kekitaan, perasaan saling hormat-menghormati, mengamalkan sifat toleransi, taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap negara wajarlah dipupuk dan diamalkan sejak di bangku sekolah dan menjadikannya budaya hidup masyarakat.

Matlamat kerajaan untuk membina sebuah Negara Bangsa adalah selaras dengan gagasan 1 Malaysia; rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan yang dihasratkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Hasrat 1 Malaysia ialah membina sebuah negara yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama, menikmati kehidupan bersama yang sepenuhnya berasaskan keadilan. Tidak ada sesiapapun akan terpinggir untuk merebut peluang yang disediakan bagi menyerlahkan segala keupayaan dan potensi masing-masing.

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More